Bijak Urus Wang Ceriakan Anda & Keluarga

Perlu Atur Kegunaan Pendapatan Bulanan

UNTUK menjalani kehidupan seharian yang lebih selesa, pengurusan kewangan cukup penting. Perbelanjaan harus setimpal dengan pendapatan dan gaji bulanan yang diterima. Anda harus bijak mengatur dan mengurus pendapatan supaya tidak kekeringan sementara menunggu gaji bulan yang berikutnya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, ada di kalangan lupa diri ketika berbelanja seakan-akan gaji bulan ini perlu dihabiskan kerana "eleh...tak apa, bulan depan akan dapat gaji lagi". Lantaran itu, tidak mustahil akan muncul kelompok yang pada setiap malam, sebelum tidur memikirkan beban perbelanjaan dan sumber mendapatkan kewangan selepas gaji yang diterima dua minggu lalu habis dibelanjakan.

Sikap masyarakat seperti ini yang mempunyai ilusi bahawa akan menerima gaji pada setiap hujung bulan menyebabkan mereka terbabas dalam menguruskan perbelanjaan sehingga memberi impak pada kehidupan seterusnya sementara menunggu gaji akan datang.

Ketika inilah, ansuran kereta dan rumah menjadi tertangguh, caj kelewatan bayaran hutang kad kredit bertambah, pelbagai bil termasuk elektrik, air dan telefon menjadi tertunggak serta pelbagai lagi beban kewangan lain akan terus menjadi beban kerana duit yang tinggal hanya 'cukup-cukup makan'.

Apa yang jelas, pengurusan kewangan yang betul memang perlu untuk memastikan kehidupan keluarga lebih ceria. Keluarga yang hidup dibebani dan dibelenggu hutang akan berasa tidak tenteram dan sering mengeluh hingga boleh merosak keharmonian rumah tangga.
0 Responses